Saturday, May 1, 2010

Program Transformasi Kerajaan (GTP)

MAJLIS PERASMIAN PELAN HALA TUJU PROGRAM TRANSFORMASI KERAJAAN (GTP)
Tarikh:2010-01-28
Lokasi: Di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur



Kita berhimpun di sini untuk melakukan sesuatu yang amat bermakna lagi bersejarah dalam konteks perjalanan negara kita menuju ke arah sesuatu yang sangat diidami rakyat kita. Hari ini, kita berkumpul untuk sama-sama menjayakan pelan hala tuju GTP. Mungkin kita akan bertanya kepada diri kita apabila sesuatu program atau dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan atau sesiapa sekali pun, persoalan yang kita tanya ialah mengapa sesuatu itu diperkenalkan dan dilaksanakan. Kita bertanya kenapa dan mengapa?

Kenapa program GTP ini dilaksana oleh kerajaan? Jawabnya ada dua sebab iaitu pertama, daripada hasrat rakyat. Apa yang kita dapat lihat dan nilai inilah kehendak rakyat dan inilah jangkaan rakyat kepada kerajaan yang ada hari ini. Kita lakukan perkara ini bukanlah tanpa membuat penilaian tertentu atau secara rambang, tetapi kita buat secara objektif. Akhirnya di kalangan anggota jemaah menteri, kita buat undian di kalangan mereka berkisar kepada soalan yakni apakah sebenarnya yang dikehendaki kerajaan dan oleh rakyat terhadap kerajaan.

Apabila kita buat undian, rupa-rupanya penilaian yang dibuat jemaah menteri adalah sama dengan penilaian yang kita buat dengan tuntutan rakyat. Maka, timbullah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang akan terus diperjuangkan kerajaan.

Sebab kedua, bahawasanya kita dalam perjalanan dan ke arah mana? Di sini suka saya sebutkan bahawa kerajaan ini bukan kerajaan baru tapi kerajaan kesinambungan. Sebab itu, kita jemput dua pemimpin yang banyak berjasa kepada negara iaitu bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi. Saya mahu menyebut bahawa matlamat kesudahan yang mahu dicapai kita selaras dengan GTP ini ialah untuk mencapai Wawasan 2020 dan mencapai status negara berpendapatan tinggi.

Kenapa kita hendak buat dan bagaimana kita mahu mencapai matlamatnya adalah melalui metodologi baru. Saya pernah sebutkan kalau persekitaran kita berubah, metodologi kita juga mesti berubah. Jangan persekitaran baru tetapi metodologi masih lama. Apabila kita mahu melaksanakan program GTP, kita melihat daripada pengalaman negara lain yang sudah melaksanakannya. Kita jemput pakar dari luar minta pengalaman mereka dan pakar itu berpendapat apa yang sedang dicuba di Malaysia adalah lebih komprehensif dan lebih besar daripada negara yang pernah membuatnya.

Ini bermakna kita berada di hadapan berbanding negara lain. Kali ini, GTP kita juga ke depan jika kita berjaya. Ia akan memberi kesan besar terhadap perubahan kita. Ada orang bertanya komitmen macam mana? Di kalangan menteri serta anggota menteri yang lain, semua amat komited. Kita mengadakan perbincangan dalam bentuk bengkel termasuk pada Ahad. Memang ada menteri yang mengeluh, tetapi jangan putus asa. Semangat kita naik balik untuk buat dan melaksanakan GTP.

Yang paling penting, bagaimana dengan penjawat awam? Adakah mereka komited? Saya bagi jaminan daripada Ketua Setiausaha Negara sampai ke peringkat bawah bahawa penjawat awam komited. Buktinya, bila saya dan menteri membuat tinjauan, suasana luar biasa. Saya tengok pegawai kerajaan – ini bukan pegawai kerajaan tinggi saja, tetapi ada juga yang peringkat bawah dan pertengahan, tunjuk semangat yang luar biasa. Ada yang bermesyuarat hingga jam 5.00 pagi.

Perbincangan serta percambahan fikiran ini, kalau kita buat dan laksana secara ‘big and bold’ (besar dan berani), maka rakyat akan rasa perubahan yang besar lagi bermakna yang seterusnya akan mengubah landskap sosial ekonomi negara. Apabila kita membuat program ini (GTP), sasaran kita sentiasa untuk merangsang menteri dan penjawat awam untuk sampai ke sasaran lebih baik dan lebih tinggi dengan idea baru yang bernas.

Saya juga rasa bangga bahawa kita telah berjaya untuk menghimpun dan pada ketika yang sama, menghuraikannya secara dokumen. Maknanya, kita sediakan dokumen GTP dan dokumen ini kita sesuaikan dengan naluri manusia. Kita mendokumenkan GTP ini dalam empat kategori untuk memberi manfaat kepada setiap rakyat iaitu mereka yang rajin membaca, kurang rajin membaca, malas membaca dan tidak suka membaca sama sekali.

Bagi yang suka membaca, kita sediakan dokumen sebanyak 261 halaman, kurang rajin membaca (37 muka surat), malas membaca (20 muka surat) dan bagi yang tidak suka membaca kita menyediakan video cakera padat (VCD). Bermakna, semua orang akan dapat mengetahui mengenai GTP.

Terdapat enam bahagian dalam sasaran GTP. Pertama, mengurangkan kadar jenayah dan kita dapati ada tanda pada suku keempat 2009, kadar jenayah jalanan berkurangan daripada 6.7 peratus berbanding 2008. Kerajaan akan agihkan ramai anggota polis untuk bertugas, tidak perlu terlalu ramai membuat tugas pentadbiran. Kita meminta mereka membuat rondaan di jalan, kita juga kerahkan anggota Rela untuk membantu tugas pencegahan jenayah.

Selain itu, kita juga meminta anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) membuat rondaan dan kawalan. Kita juga fikir mengenai beberap tindakan lain seperti pemasangan CCTV, mahkamah khas yang semuanya terangkum dalam hasrat kita mengurangkan kadar jenayah.

Kita juga berusaha membanteras rasuah dengan kerajaan komited untuk meningkatkan indeks persepsi Transparency International (TI) pada kedudukan lebih baik. Kerajaan akan membuat pengukuran itu dari semasa ke semasa.

Kerajaan juga akan tentukan hampir semua tender terbuka dan tertutup supaya mereka yang berjaya mendapat kontrak itu kita akan paparkan dalam laman web supaya rakyat tahu siapa yang mendapat kontrak daripada kerajaan. Kerajaan juga akan memberi perlindungan kepada pemberi maklumat kepada pihak berkuasa.

Dalam bidang pelajaran, kerajaan akan memastikan rakyat mendapat akses pendidikan berkualiti, termasuk prasekolah daripada penyertaan 67 peratus murid kepada 87 peratus dalam tempoh tiga tahun. Seperti diumumkan, 20 Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) menjadi tanda aras sekolah lain apa yang terbaik mampu dilakukan sebagai rangsangan kepada sekolah lain. Kerajaan juga akan wujudkan ganjaran baru yang lebih baik bagi pengetua dan guru besar berprestasi tinggi.

Kerajaan juga akan melihat isi rumah yang pendapatan rendah. Dalam e-Kasih, sebanyak 44,000 keluarga miskin dikenal pasti dan mereka ini akan dikeluarkan daripada kepompong kemiskinan terutama kemiskinan tegar.

Kerajaan juga akan menyediakan infrastruktur lebih baik di luar bandar dengan mengenal pasti empat keperluan asas utama iaitu menambah baik kemudahan jalan raya, kediaman, bekalan air serta elektrik di seluruh negara khususnya di Sabah dan Sarawak yang masih ketinggalan, dengan peruntukan hampir RM18 bilion untuk tempoh tiga tahun akan datang.

Dalam aspek pengangkutan awam pula, kerajaan membuat komitmen supaya sebanyak 13 peratus pengguna menggunakan pengangkutan awam tahun ini dan sebanyak 25 peratus lagi menjelang 2010 di Lembah Klang. Ketika ini hanya 10 peratus menggunakan perkhidmatan itu.

Kerajaan juga akan meningkatkan peratusan penduduk yang tinggal dalam jarak 400 meter dari laluan pengangkutan awam di Lembah Klang kepada 75 peratus. Satu terminal pengangkutan bersepadu di Bandar Tasik Selatan akan dibina bagi mengurangkan kesesakan di pusat bandar yang dapat menjimatkan masa menanti bas dengan persekitaran lebih selesa. Untuk itu, sebanyak 200 bas baru dan 800 perhentian bas akan dinaik taraf.

Sebanyak 26 set tren dan empat koc baru untuk landasan sistem Transit Aliran Ringan (LRT) baru aliran Kelana Jaya akan dibuat. Ini cuma secebis daripada apa yang kita mahukan. Kita tidak perlu bimbang kerana perinciannya ada dipamerkan satu persatu secara terperinci.

Saya ingin memberitahu bahawa kerajaan sentiasa bersikap telus, dan kita seda akan prinsip akauntabiliti. Kita akan melakukan tugas secara telus kerana rakyat akan menilai dan membuat penentuan sama ada kita dapat memenuhi janji kita kepada rakyat atau sebaliknya. Semua ini ada risikonya.

Dalam sistem demokrasi berparlimen, kalau rakyat buat kesimpulan bahawa kita tidak dapat memenuhi janji kepada mereka, kita sedar akan risikonya. Tetapi sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, kita reda dinilai dan ditentukan oleh rakyat apabila sampai masanya. Ini komitmen ikhlas kita kepada rakyat.

Kita juga akan menambah laporan tahunan kepada rakyat. Antara yang akan kita maklumkan ialah perkara seperti berapa kilometer jalan raya dibuat di luar bandar, tahun ini berapa orang miskin sudah terkeluar daripada belenggu kemiskinan tegar, berapa ramai murid mendapat pendidikan prasekolah, berapa ramai orang menggunakan pengangkutan awam, kadar jenayah jalanan, berapa banyak rasuah berjaya diperangi dan sebagainya.

Ini kita akan laporkan dan rakyat boleh tengok. Sebab itu, kerajaan tidak boleh lari daripada prinsip tanggungjawab. Kita sudah nyatakan bahawa kita reda nasib kita ditentukan oleh rakyat apabila tiba masanya. Itu memang sudah menjadi komitmen kerajaan.

Dalam menyampaikan mesej kita, kita sedar ada rakyat yang mungkin membuat kenyataan sinis juga seperti pelaksanaan semua itu belum tentu (berjaya) lagi. Ada juga komen biasa yang menyatakan mengenai kerajaan mempunyai polisi yang baik tetapi pelaksanaannya bermasalah. Ini semua kita sedar dan sebab itu kita mahu tentukan supaya penyampaian kita menjurus kepada keberhasilan untuk rakyat. Kita mahu ia menjadi sesuatu yang boleh rakyat lihat, sentuh dan alami sendiri.

Kerajaan bertekad bahawa kita tidak akan berhenti sehingga rakyat sendiri boleh sentuh dan alami penambahbaikan dalam kehidupan mereka. Insya-Allah, dengan izin Allah dan dengan komitmen semua pihak, kita akan berjaya.

No comments:

Post a Comment

Post a Comment